Monday, February 2, 2009

kesalahan umat hari ini....

meninggalkan solat jumaat

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: barangsiapa yang meninggalkan solat jumaat lebih dari 3 kali dengan meremehkan, Sungguh Allah telah mencapka (menutup) atas hatinya. ( HR. Abu Daud)

Minta sesiapa yang bernama muslim berikan komentar tentang hadis maksud Rasulullah

Wednesday, January 28, 2009

WASIAT IMAM AS SYAHID HASSAN AL BANNA

Wasiat al-Banna ke-3, berusahalah berbahasa Arab dengan fasih

Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul. Hasan al-Banna.

Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna dalam wasiatnya yang ketiga meminta kita dapat mempelajari dan berusaha keras memahami bahasa Arab. Kenapakah pentingnya umat Islam memahami bahasa Arab dengan fasih itu?

Berikut, kami paparkan kepentingan bahasa Arab sebagai yang disebutkan dalam al-Quran.

012 � Yusuf
[1] Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [2] Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

Ar-Ra�du
[37] Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).

An-Nahl
[103] Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: " Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia". (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al- Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.

Taha
[113] Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.

Asy-Syu'araa'
[195] (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

Az-Zumar
[27] Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. [28] laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

Fussilat
[1] Haa, Miim [2] Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [3] Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

Asy-Syuura
[7] Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) "Ummul-Qura" dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) - yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.

Az-Zukhruf
[1] Haa, Miim. [2] Demi Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [3] Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

Al-Ahqaaf
[12] (Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Quran pula sebuah Kitab - yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), - diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orangorang yang berbuat kebaikan.

Yusuf
[1] Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [2] Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

Friday, January 23, 2009

Manusia berasal dari Adam

Manusia berasal dari Adam

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Selepas Allah SWT menerangkan bahawa agama yang benar adalah Islam dan tauhid, perselisihan Ahli Kitab tentang agama ini hanya berpunca daripada perasaan dengki dan hasad, kejayaan serta kemenangan berpunca daripada ketaatan kepada Rasulullah SAW. Maka ayat-ayat ini, Allah SWT menjelaskan tentang orang yang paling dicintai dan dimuliakan oleh-Nya serta sebahagian daripada mereka dijadikan Rasul yang berperanan menjelaskan kepada umat manusia akan jalan cinta kepada Allah SWT dengan cara beriman kepada-Nya dan mentaati-Nya serta melakukan perbuatan yang diredai-Nya.

Ayat ke-33

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

Sebab Nuzul

Ibn Jauzi menukilkan dalam kitabnya Zad al-Masir daripada Ibn Abbas berkata: Yahudi mendakwa bahawa mereka adalah anak-anak Ibrahim, Ishak dan Yaakub a.s. Lantas mereka atas agama yang sama. Kemudian turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan bahawa beliau memilih rumah-rumah ini berbanding dengan sekelian penduduk bumi dipilih Adam a.s., diciptakan dengan tangan-Nya, ditiup daripada roh-Nya, malaikat diperintah sujud padanya, diajar segala nama, ditempatkan dalam syurga kemudian diturunkan ke bumi kerana hikmahnya".

ii. Al-Zajjaj berkata: "Maksud memilih dalam ayat ini ialah, Allah menjadikan mereka sesuci-suci makhluk-Nya dan sebaik-baik-Nya".

iii. Dikatakan nama Nabi Allah Nuh as sebagai nama Ajam yang diArabkan. Abu Sulaiman al-Dimashqi berkata: Nama Nuh a.s adalah as-Sakan dan dinamakan Nuh kerana banyak tangisannya dan sebab tangisannya ada lima pendapat:

Pertama: Kerana ia menangis terhadap dirinya. Inilah pendapat Yazid al-Raqashi.

Kedua: Dia menangis kerana dosa- dosa dan maksiat keluarga dan kaumnya.

Ketiga: Kerana permohonannya kepada Tuhannya berkenaan anaknya.

Keempat: Kerana doanya supaya kaumnya dibinasakan.

Kelima: Kerana beliau pernah melalui berhampiran anjing yang terkena penyakit kusta lantas dihinanya.

iv. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT memilih mereka dan menjadikan mereka orang pilihan di atas dunia dengan memberikan pangkat kenabian dan kerasulan kepada mereka.

"Orang pertama yang dipilih dan dimuliakan oleh Allah SWT ialah Nabi Adam AS sebagaimana Allah SWT: Kemudian Tuhan-Nya memilih (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah SWT menerima taubatnya serta diberi petunjuk. ( Terjemahan: surah Taha: 122) Daripada keturunannya, ada yang menjadi Nabi dan Rasul.

v. Maksud keluarga Ibrahim a.s. dengan tiga pendapat:

Pertama: Mereka yang di atas agamanya. Inilah pendapat Ibn Abbas dan al-Hasan.

Kedua: Iaitu Ismail, Ishak, Yaakub dan Asbat. Inilah pendapat Muqatil.

Ketiga: Nabi Allah Ibrahim sendiri.

vi. Maksud Imran dalam ayat ini dengan dua pendapat:

Pertama: Bapa kepada Maryam. Inilah pendapat Hasan dan Wahab.

Kedua: Bapa kepada Musa dan Harun. Inilah pendapat Muqatil

vii. Muhamad Quraish Shihab berkata: "Kata alamin adalah bentuk jamak dari 'alam oleh bahasa demikian juga al-Quran digunakan dalam erti kelompok yang anggotanya dihimpun oleh sekian banyak persamaan, dan yang berakal atau hidup. Kerana itu dikenal dan dinamai alam malaikat, alam manusia, alam jin, alam tumbuh-tumbuhan, tetapi bukan alam batu atau alam gunung".

Ayat ke-34

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: Dimaksudkan dengan perkataan "Sebahagiannya dari yang lain" ialah mereka itu sepadan dan setingkat dalam kebaikan dan keutamaan. Ia sebab mereka menjadi orang yang mulia". Pengertian ini selaras dengan firman Allah SWT: Orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain…(Terjemahan surah al-Taubah: 67).

ii. Hamka berkata: "Menurut undang-undang berfikir secara ilmiah, dapatkah dibatalkan al-Quran, wahyu Ilahi kepada Muhammad SAW yang dicatat lengkap pada waktu Baginda masih hidup, lalu ditulis menjadi satu mushaf di zaman Abu Bakar dan diteruskan pada zaman Usman oleh satu panel yang sangat hebat orang-orangnya. Dengan kesepakatan di antara mereka tidak pernah selama 14 abad satu kalimat pun masuk kata-kata lain ke dalamnya?"

iii. Muhamad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini ditutup dengan menegaskan bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, termasuk ucapan-ucapan menyangkut tokoh-tokoh yang disebut ayat ini, seperti Nabi Ibrahim a.s adalah orang Yahudi atau Nasrani dan Nabi Isa a.s adalah anak Tuhan dan lain-lain.

Semoga kita dapat mengikuti golongan yang menjadi pilihan Allah SWT seperti para Nabi dan Rasul serta yang mengikut jejak langkah mereka. Amin.

SOLAT GERHANA

SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI (KUSUF)

Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari. Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf.

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Matahari
Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.

Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.

Cara Solat Sunat Gerhana

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! ( Solat berjemaah )

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir

2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah

3. Rukuk

4. I'tidal

5. Baca Al-Fatihah dan surah

6. Rukuk.

7. I'tidal.

8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.

2. Baca Al-Fatihah dan surah.

3. Rukuk.

4. I'tidal,

5. Baca Al-Fatihah dan surah.

6. Rukuk.

7. I'tidal.

8. Sujud

9. Tahiyyat Akhir

INFO GERHANA MATAHARI

SUMBER INFO : PLANETARIUM NEGARA, MALAYSIA.

Marilah kita sama-sama menghayati dan menginsafi kebesaran Allah s.w.t dalam mengatur alam ini. Selain dari panduan maklumat dari pakar-pakar astronomi mengenai kejadian ini, sewajibnya kita membetulkan akidah dan iktikad di dalam hati kita bahawa Allah s.w.t itu Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam mengatur dan menguruskan langit dan bumi dan segala isinya.

Mungkin ada sesuatu mesej di sebalik kejadian ini tanpa kita sedari. Maka sedarilah dan marilah kita sama-sama berfikir dan merenung sejenak dalam masa 24 jam yang kita ada setiap hari. Setiap saat yang berlalu menandakan usia kita semakin tua dan usia dunia juga lebih tua dari kita. Jika usia dunia amat sedikit maka usia kita teramat-amat sedikit dari usia dunia.

Marilah sama-sama kita menunaikan solat Asar secara berjemaah dan seterusnya mengerjakan solat sunat gerhana matahari (kusuf) di Masjid Negara. Datanglah beramai-ramai ke Masjid Negara pada 26 Januari 2009 (Isnin) !!!


SUMBER : MASJID NEGARA

Thursday, January 22, 2009

Syeikh Izuddin Al Qassam


Nama Izzudin Al-Qassam sering kita dengari dari corong-corong radio atau kaca televisyen tambahan kebelakangan ini apabila Gaza diserang. Apa yang kita tahu ia adalah nama bagi sebuah briged, sayap kanan kepada HAMAS dan juga nama yang diberikan kepada roket buatan sendiri oleh HAMAS yang gunakan bagi menyerang Israel. Tahukah anda ia merupakan nama seorang ulama' yang dikurniakan oleh Allah dengan syahid. Siapakah Izzudin Al-Qassam ini ? Apakah kehebatannya hingga menjadi kebanggaan kepada para pejuang Palestin ? Nama beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jibillah, Syria. Keluarganya amat berpegang kuat dengan ajaran Islam. Bapanya seorang guru Al-Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafaz Al-Quran. Beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun sekitar tahun 1906. Sewaktu menuntut beliau sempat belajar daripada tokoh terkenal, Syeikh Muhammad Abduh r.anhu dan bersahabat dengan Syeikh Muhammad Rashid Redho. Semasa di zaman menuntut lagi beliau telah pun gigih melakukan usaha dakwah.
Syeikh Izzuddin Al-Qassam adalah seorang imam, guru dan juga syeikh bagi Tariqat As-Syazuliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Beliau menggunakan ilmu dan kedudukannya untuk menerangkan kepada umat bahawa tugasnya bukan sekadar asas-asas agama Islam semata-mata tetapi juga menerangkan setiap isu yang menyentuh kepentingan umat dan negara dari sudut pandangan Islam. Kepimpinannya telah menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada Islam. Pentarbiyahan beliau telah berjaya merubah pemikiran masyarakat. Beliau juga berjaya mempamerkan kepada masyarakat makna tariqat dan tasawuf sebenarnya bahkan wirid dan ajaran tasawufnya telah berjaya menguatkan rohaninya menentang kemungkaran. Beliau juga telah menolak salah tanggap masyarakat Islam kepada tasawuf dan tariqat yang menganggap golongan tariqat dan tasawuf ini hanya duduk di masjid atau atas sejadah sambil membaca ratib tanpa mengambil tahu keadaan umat Islam.
Ketika Perancis menjajah negara Syria, beliau juga turut ikut serta dalam memerangi penjajah. Antara usahanya ialah dengan menjual rumahnya lalu membeli 34 pucuk senjata sebagai persediaan bagi menentang penjajah. Namun, perjuangan suci Syeikh Izzuddin dikhianati oleh revolusi pimpinan Ibrahim Hanano yang menyerahkan Syria kepada penjajah dan menangkap para pejuang. Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920. Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Beliau hanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan. Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi yang semakin bertambah ramai di bumi Palestin.
Syeikh Izzuddin Al-Qassam berhijrah ke Palestin kerana beliau amat memahami rancangan jahat Yahudi yang dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Swizland pada 29 hingga 30 Ogos tahun 1896. Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan sebuah negara kebangsaan untuk masyarakat Yahudi di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit antarabangsa yang mendapat sokongan kaum penjajah umumnya dan British khususnya.
Di Haifa beliau tinggal di rumah Haji Amin Nuruddin dan bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah di Masjid An-Nasr. Kemudiannya berpindah tugas di Masjid Al-Istiqlal iaitu masjid terbesar ketika itu. Pada tahun 1927 beliau mendirikan pejabat cawangan Jam'iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan Pemuda Muslim) di Kota Haifa dan bertindak sebagai pemimpinnya.
Beliau mengajak para warga Arab Palestin berbincang mengenai ancaman Yahudi ini walaupun sebahagian mereka mempunyai pendapat yang ganjil. Ini kerana ada antara mereka yang berpandangan bahawa cukup untuk menghadapi Yahudi dengan demonstrasi atau dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke Britain untuk mencari jalan penyelesaian. Selama tujuh tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan hubungan dengan orang ramai, mengenali mereka, membina serta melatih organisasi dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal menentukan masa depan. Dalam tempoh tujuh tahun itu juga beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di Pejabat Syariat dan ketua pergerakan. Hubungan baik beliau dengan segenap lapisan masyarakat juga telah mengizinkan beliau memiliki dana kewangan yang kukuh.
Operasi pertamanya adalah menyerang perkampungan Yahudi Nahlal di kawasan Marj Amir. Hasilnya, ketua penjara Haifa terbunuh. Tentera Inggeris mengumumkan akan memberi hadiah 500 poundsterling bagi sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga tertangkap atau terbunuhnya Syeikh Izzuddin. Beliau bijak melepasi buruan pasukan Inggeris. Hingga anak perempuannya yang bernama Maimunah sempat memintanya untuk ‘membuat gencatan senjata' dan seterusnya diganti dengan cara perdamaian saja. Syeikh Izzuddin lantas marah sambil berkata, "Diamlah wahai Maimunah! Tidaklah kemuliaan tercapai dan tercabut dari segala penderitaan kecuali melalui titisan darah."
Sementara itu, di kawasan Nashirah, Syeikh Izzuddin dan pasukannya berjaya membunuh 11 orang Yahudi. Kemarahan Inggeris terhadapnya semakin meningkat dan pelbagai operasi telah dilancarkan untuk menghentikan jihadnya tapi tetap menemui kegagalan.
Pada tahun 1931, pasukan yang beliau bentuk telah menyerang perkampungan Yahudi di Yagur. Dalam penyerangan tersebut tiga orang tentera Yahudi telah terbunuh. Pasukan Syeikh Izzuddin Al-Qassam meneruskan penyerangannya dan menyebarkannya ke seluruh wilayah pergunungan. Setelah pasukan Inggeris yang bekerjasama erat dengan Zionis bertindak menyempitkan ruang geraknya di Haifa, maka Syeikh Izzuddin bersama enam orang sahabat karibnya berpindah ke daerah pergunungan pada tahun 1935. Pasukan ketenteraan yang beliau bentuk mencapai jumlah seramai 200 orang. Dari jumlah tersebut beliau membahagikannya kepada beberapa kelompok. Setiap kelompok terdiri daripada lima orang dan salah seorang daripada mereka akan diangkat sebagai pemimpin dan pemberi arahan. Dalam tempoh yang agak singkat, pasukannya bertambah bilangannya dan mencapai keanggotaan seramai 800 orang. Setiap unit yang asalnya terdiri daripada lima orang membesar menjadi sembilan orang.
Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Di tahun 1935, Syeikh Izzuddin dalam usianya yang telah mencapai 60 tahun keluar pada satu malam dengan mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan pakaian tokoh agama. Beliau mengumpulkan anggota keluarganya lantas memberitahu niatnya dan menjanjikan untuk berjumpa di syurga.
Pada pagi Rabu tanggal 20 November 1935 bertempat di Kota Ashrasy Ya'bad, Kota Jenin, Palestin terjadilah pertempuran atau peperangan yang tidak seimbang antara ratusan pasukan Inggeris yang bersenjatakan lengkap dengan bantuan helikopter serta pesawat menggempur sepuluh orang mujahidin pimpinan Syeikh Izzuddin dengan sebarang kekurangan dari segi persenjataan. Dalam tragedi yang penuh menyayat hati itu, Syeikh Izzuddin Al-Qassam memerintahkan pasukannya untuk memilih mati syahid daripada berundur, ketika mana para mujahidin telah dikepung oleh pasukan Inggeris itu. Akhirnya Syeikh Izzuddin Al-Qassam bersama sembilan orang pasukannya meraih kematian yang dimuliakan dan menjadi cita-cita seorang mujahid iaitu syahid yang menjemputnya menemui Tuhannya. Dalam poket baju Syeikh Izzuddin terselit mashaf Al-Quran yang menjadi sumber inspirasi seorang muslim.Umat Islam di Palestin dan seluruh dunia melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah As-Syahid Izzudin Al-Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan pencintanya ke perkuburan di kampungnya. Gugurnya beliau telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan bantahan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi Palestin.
Puluhan tahun telah berlalu hingga waktu ini. Persoalan yang perlu kita tanya, di mana musuh-musuh yang memusuhi perjuangan Syeikh Izzuddin? Di mana mereka yang membunuh Syeikh Izzuddin dan teman-temannya? Mereka hanya mampu membunuh jasad Syeikh Izzuddin tapi gagal mematikan roh perjuangan beliau dan teman-teman yang lain. Di manakah pula Syeikh Izzuddin dan teman-temannya berada sekarang? Tanpa syak dan ragu-ragu, dengan penuh keimanan kepada Allah dan ayat suci-Nya dalam kitab Al-Quran yang kita imani bahawa orang-rorang yang mati syahid tidak mati bahkan mereka hidup di sisi Allah s.w.t malahan diberikan rezeki. Alangkah bertuahnya Syeikh Izzuddin dan teman-temannya kini dalam rahmat Allah, sementara merana dan sengsara pula musuh-musuh mereka diazab oleh Allah.
Jasa Syeikh Izzuddin Al-Qassam sentiasa dikenang oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin. Nama beliau diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan sayap ketenteraannya serta pada senjata dan bendera mereka. Mari sama-sama kita sedehkan al-Fatihah kepada beliau serta teman-teman beliau yang lain. Semoga kita semua akan dihimpunkan di akhirat kelak bersama-sama beliau serta syuhada' yang lain. Amin.

Wednesday, January 21, 2009

APAKAH SIKAP & TANGGUNGJAWAB KITA TERHADAP PALESTIN

Saya mempersilakan sesiapa sahaja terutamanya pelajar-pelajar saya, untuk mengemukakan pandangan mengenai sikap dan tanggungjawab yang perlu kita lakukan untuk sahabat-sahabat kita di Palestin.

Jazakumullah khairul jaza'.

WASIAT IMAM AS SYAHID HASSAN AL BANNA

Baca al-Quran, jangan buang masa, wasiat ke-2 al-Banna
Fahri Abdullah al-Masri


"Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah." Wasiat kedua Imam Hasan al-Banna.
Iklan

Program tarbiyyah kedua yang terjelma melalui wasiat Hasan al-Banna ialah perihal mempertingkat daya faham umat Islam melalui bacaan al-Quran, membaca buku-buku, mendengar ceramah agama, mengamalkan zikrullah.

Pendek kata, Imam Hasan al-Banna tidak mahu anggota ikhwan atau umat Islam itu akan terbuang waktunya walau sedikit pun dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Di dalam surah al-Asr, disebutkan mengenai kerugian yang dikaitkan dengan masa. Pada asalnya, semua manusia itu hidup sentiasa dalam kerugian.

[1] Demi Masa!; [2] Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Tetapi, antara mereka itu, ada beberapa golongan yang semakin berkurangan kerugiannya dengan sebab amalan dan kepercayaan mereka itu.

Pertamanya, mereka yang beriman, yakin dan percaya kepada Allah, kitab-kitabNya, nabi dan malaikat serta kewujudan akhirat. Sesiapa yang termasuk dalam golongan ini, maka mereka telah terlepas daripada belenggu kerugian yang pertama.

Kedua, mereka yang beramal soleh, membuat kebajikan, membantu meringankan beban, membuang kesusahan orang-orang yang memerlukan bantuan dan sebagainya.

Ketiga, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah atas nama kebenaran.

Keempat, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah dengan penuh kesabaran.

Tetapi, awal kepada segala puncak kesedaran ini bermula apabila seseorang Muslim itu mula memahami makna yang tersembunyi dan terselit di dalam al-Quran.

Sesudah al-Quran menjadi kunci kepada pintu kesedaran seseorang Muslim itu, Hasan al-Banna berpesan kepada kita supaya kerap membaca buku-buku. Sudah tentu, buku ilmiah ini akan menuntut pergerakan pemikiran kita ke arah laluan kebenaran.

Dengan pengetahuan, seseorang Muslim tidak akan tertipu. Buku-buku ilmiah boleh juga kita dapati daripada ulasan-ulasan buku di majalah, akhbar. Ringkasnya, hubungan orang Islam dengan buku itu wajib ada.

Sekiranya, tiada buku dijumpai, maka al-Banna menyeru kita pergi mencari guru, ustaz yang menyampaikan ilmu, ceramah agama tempat terbitnya segala buah fikiran baru.

Selanjutnya sumber-sumber ilmu lain selepas itu ialah usrah atau perkumpulan kecil yang selalu membanyakkan ucapan-ucapan yang baik didengar. Diskusi perkumpulan kecil ini juga perlulah dihadiri oleh seseorang Muslim yang beriltizam dengan agamanya.

Dan, seterusnya Imam Hasan al-Banna berpesan kepada kita agar mengamalkan zikir dan beriltizam menghabiskan ratib-ratib yang kita mahu amalkan. Paling mudah seseorang itu boleh mengamalkan wirid al-Mathurat, Wazifah as-Sughra jika tiada kesempatan.

Dengan amalan wirid wazifah al-Kubra dan as-Sughra inilah seseorang itu akhirnya akan menggunakan masanya untuk membuat hal-hal kebaikan secara tak langsung.

Lalu, dengan cara membaca al-Quran, memperuntukkan masa untuk membaca buku atau berzikir, maka sepenuh kehidupannya terisi dengan waktu-waktu yang indah serta masa yang berfaedah. Lalu, terelaklah beliau menggunakan waktunya ke arah keburukan.

Kesimpulan
Maka, hendaklah setiap umat Islam itu membaca al-Quran. Tidak cuma membaca. Yang paling penting ialah mereka mesti cuba memerhati pesanan Tuhan di dalamnya.

Jangan dibiarkan hati mereka selalu kering dan akhirnya mati. Basahkan dengan sejumlah wirid, ratib-ratib dan zikrullah yang biasa diamalkannya. Hati yang sentiasa ada pertalian dengan Tuhan akan sentiasa bersimbah ilmu, ilham dan pengetahuan yang baru.

Carilah ilmu walaupun sedikit. Masa yang terluang dengan tujuan yang tidak munasabah hendaklah kita sifarkan sama sekali. Hidup seorang Muslim itu sentiasa penuh dan padat dengan hal-hal yang berguna kepada diri dan masyarakat sekitarnya.

Al-Quran itu adalah induk samudera ilmu. Akar pengetahuan dan ranting hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia menjadi pendinding kepada segala permasalahan dan ia akan berbicara kepada kita.

Sampai kepada suatu saat, al-Quran akan menjadi suara yang akan berbicara kepada jiwa kita dengan syarat kita memahaminya betul-betul mengikut nahu bahasa Arab.

Lazimkanlah diri membaca, menghafal dan yang paling utama, menghayati, merenungi setiap inci perkataannya dan lihat arahan Tuhan. Lazimi lidah kita dengan berzikir atau hati kita mesti ikut berzikir. Ketenteraman dan kedamaian akan menyelimuti kita. _